:: Teman-Teman ::

:: My Counter ::

Wednesday, October 6, 2010

Munajat Kecemerlangan


Hari ini, 6 Oktober 2010, Rabu merupakan hari kedua, calon-calon menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah ( PMR ) . Manakala pelajar Tingkatan 5 pula bertungkus-lumus dengan peperiksaan Percubaan SPM mereka. Seminggu sebelum demam peperiksaan ini bermula, ramai  yang bertanya, " Cikgu, bila nak buat solat hajat ?"  Soalan pertama yang saya ajukan ialah, " Kamu pagi tadi solat subuh tak ?" Jawapan mereka mudah dan ringkas, " Tak, bangun lambat ." Saya hanya mampu tersenyum.

Sunday, September 26, 2010

Apa Sebenarnya Kekuatan Pada Diri Manusia

Badan yang besar, tulang yang kuat, harta  yang banyak, belum tentu dapat menjadi kekuatan kepada seorang insan yang bernama manusia. Selain akalnya yang menyimpan berjuta inspirasi, ada satu kelebihan lain iaitu mata hati yang mengandungi kekuatan emosi.
     Cantiknya kita, manusia , dijadikan Allah SWT dalam bentuk yang paling sempurna. Tetapi, kini, manusia mungkin lebih hina daripada binatang akibat daripada perbuatan tangan kita sendiri. Sepertimana yang terdapat dalam Surah al-Tin, ayat 4 dan 5 yang berbunyi, " Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian (jika ia panjangkan umur sehingga tua atau ia menyalahgunakan kesempurnaan itu) kami kembalikan ia ke serendah-rendah peringkat orang yang rendah."
     Mati hati kurniaan Allah SWT berperanan menjadi penyelamat . Mata hati yang sentiasa bersinar terang milik orang yang beriman, walaupun ia berada di dalam kegelapan
     Begitulah keadaannya ketika seseorang itu berada dalam kesusahan, semakin bertambahnya ujian Allah, maka  makin terang mata hatinya menyuluh rasa hikmah disebalik ujian Allah itu. Dan yang pasti, akhirnya mampu menghadapi segala tekanan yang melanda jiwa. Maha Besar Allah.
     Sebagai manusia, bagaimana kita boleh memiliki mata hati yang cantik dan bersinar dalam apa juga keadaan dan situasi?

Friday, September 24, 2010

Antara Percaya atau Tidak...



Firman Allah yang berbunyi," Katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya, dan hendaklah mereka menutup dadanya dan janganlah menampakkan perhiasan kecuali kepada suami mereka."

Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 59," Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin supaya melabuhkan jilbab mereka ke seluruh tubuh mereka."

Ketahui 10 Cara Menjauhi Zina

[1]  Tidak berdua-duaan antara lelaki dengan perempuan yang bukan muhrim, baik di rumah, di pejabat atau di mana saja. Mengikut Sabda Rasulullah, "Tidaklah seorang laki-laki yang berdua-duaan dengan seorang wanita, kecuali yang ketiganya adalah syaitan."

Thursday, September 23, 2010

aPA naK jADi ???


Hutang nyawa, dibayar nyawa. Itulah akibat yang diterima oleh pemandu teksi , Mohd Fazlli Azri Jamil selepas didapati bersalah  membunuh anak kepada teman wanitanya, Siti Nurhanim bt Aziz. Sedih betul ketika saya membaca berita ini . Sedih bukan kerana Syafiah Humaira Sahari, tiga tahun empat bulan yang terpaksa melalui kisah duka itu, air mata kita semua sudah kering untuk menangisi pemergiannya dan kini mungkin dia aman 'di sana'. Sedih kerana ibu kepada kanak-kanak malang itu menerima ciuman di pipi , dari teman lelakinya yang didapati bersalah membunuh Syafiah Humaira. Tanpa ada rasa malu , tanpa ada rasa berdosa, dan mungkin dengan rela hati dia menerima ciuman itu. Apa nak jadi ? Apa nak jadi dengan dunia sekarang ? Mereka melakukannya di khalayak ramai, seolah-olah Malaysia ialah negara orang putih. Mungkin inilah yang dikatakan umat akhir zaman. Malu, sudah tiada lagi. Malu, sudah tidak wujud  lagi. Dan tanpa rasa malu jugalah pesalah ini juga telah mengaku meneguk air haram yang membuatkan dia berada dalam keadaan mabuk.

Tuesday, September 14, 2010

Pelihara Adab Hari Raya

Ramadhan sudah berlalu pergi, Syawal datang lagi. Semoga kita dapat mengekalkan momentum keinsafan dan ibadat selepas Ramadhan. Pastinya untuk menyamakan tahap kuantiti ibadat di luar bulan Ramadhan adalah sesuatu yang tidak mampu dicapai kerana kelebihan Ramadhan itu sendiri. Cuma jika ingin difikirkan cara untuk mengekalkan  momentum, ia bermula dengan cara kita menyambut Hari Raya. Hati dan iman kita, memerlukan suasana keliling yang baik bagi menjamin kesan Ramadhan berterusan.

     Menurut Uztaz Zaharuddin Abd Rahman, terdapat beberapa perkara yang mesti dijauhi di hari yang mulia ini, bagi memastikan hasil kebaikan yang diraih di bulan Ramadhan tidak hilang secepat kilat. Antaranya ialah :

Monday, September 13, 2010

Berita Harian Online | Penyewa terkejut tuan rumah suspek kes bunuh Sosilawati

Berita Harian Online Penyewa terkejut tuan rumah suspek kes bunuh Sosilawati

Kronologi Datuk Sosilawati Hilang

6 September 2010

Media melaporkan Datuk Sosilawati Lawiya, 47, hilang sejak 30 Ogos lalu selepas urus niaga pembelian tanah di Banting bersama peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammmad, 38 dan pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44. Sosilawati dikatakan membawa RM4 juta bersamanya.

7 September 2010

Dua kereta BMW, masing-masing dengan nombor pendaftaran WTL 11 dan AAJ 5, milik Sosilawati dan Ahmad Kamil ditemui. Kereta Sosilawati ditemui di Apartmen Angsana, Taman Subang Mewah, Subang Jaya; manakala kereta Ahmad Kamil ditemui di hadapan Hotel Dorsett di SS12, Subang Jaya. Keluarga Sosilawati menafikan mangsa membawa wang RM4 juta.

8 September 2010

Polis melaporkan Sosilawati dan tiga individu lain masih dalam negara. Sosilawati mengunjungi kedai Fazz Enterprise Kerepek House di Kampung Sungai Lang, Banting pada jam 4 petang, 30 Ogos lalu. Noorhisyam pula menghubungi isterinya untuk memaklumkan beliau tidak akan pulang tiga hari melalui telefon pada malam 30 Ogos.

9 September 2010

Media melaporkan Sosilawati disembunyikan dilokasi rahsia oleh kumpulan tertentu kerana perselisihan perniagaan dan kewangan.

10 September 2010

Kehilangan Sosilawati dilaporkan didalangi seorang ahli perniagaan bergelar Datuk. Polis menahan lima suspek berhubung kehilangan empat mangsa itu.

11 September 2010

Polis menemui lokasi empat mangsa itu dibunuh dan mayat mereka dibakar di sebuah ladang di Teluk Gadong berhampiran Tanjung Sepat, Banting. Polis menahan ahli perniagaan bergelar Datuk dan adiknya.
Polis mengesahkan Sosilawati, Ahmad Kamil, Noorhisham dan Kamaruddin dipukul sampai mati, mayat mereka dibakar di Ladang Gadong, sebelum abunya dibuang ke dalam sungai. 

Jom Puasa Enam

Sudah hampir seminggu kita meninggalkan bulan Ramadhan yakni bulan yang penuh dengan keberkatan serta bulan yang melatih kita untuk menghadapi bulan yang mendatang.

     Namun begitu, sebagai Muslim sejati kedatangan Syawal dan pemergian Ramadhan sepatutnya memberi keinsafan kepada diri. Adakah kedatangan bulan penuh berkat itu benar-benar meninggalkan kesan sebagaimana puasa yang dilakukan itu dapat melatih dan mendisiplinkan diri kita ? Atau sebulan yang berlalu hanya meninggalkan kesan lapar dan dahaga.

Salam Aidil Fitri



Mula-mula sekali, saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakan-rakan maya. Inilah kali pertama saya ke udara selepas hampir tiga bulan mendiamkan diri. Hari ini merupakan hari keempat kita semua merayakan hari mulia ini, mengikut suasana, persekitaran dan taraf hidup masing-masing.

    Kesempatan berhari raya di musim cuti sekolah ini, sebaiknya kita gunakan untuk berkunjung ke rumah sanak saudara dan sahabat handai. Jadikan Aidilfitri sebagai jambatan yang menyambung dan memperkukuhkan silaturahim. Jadikan amalan kunjung-mengunjung sebagai kemestian untuk membantu  mempertahankan institusi keluarga yang semakin longgar. Suasana perhimpunan setahun sekali dalam sebuah keluarga di rumah orang tua di kampung halaman pastinya gamat apabila masing-masing mengimbas nostalgia dan membuka cerita lama. Detik paling syahdu, pastinya berlaku apabila terkenang ahli keluarga yang jauh atau tidak lagi bersama kita. Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Tuesday, June 1, 2010

Hanya Menunggu Masa...

Hari ini, rasanya hari yang paling sibuk minggu ini,  juga hari terakhir saya ke sekolah, mulai esok, saya mula bercuti, InsyaAllah jika diizinkan saya akan berangkat menunaikan umrah bersama suami tersayang, mulai pada 3 Jun hingga 15 Jun 2010. Semua urusan berkaitan , dah hampir selesai, barang-barang yang perlu dibawa juga telah saya siapkan. Saudi Riyal pun dah tukar. Persiapan ala kadar sahaja, tidaklah seperti kali pertama saya pergi bersama anak-anak sedikit masa lalu.
 
   Tadi sempat juga beberapa teman baik bersalaman, mengucapkan selamat jalan kepada saya. Ada juga yang berhajat mengirim doa. InsyaAllah, akan saya sampaikan hajat masing-masing. Tidak kurang juga yang melahirkan rasa sedih kerana hasrat mereka untuk menunaikan umrah masih belum tercapai lagi. Pada saya cukup mudah, apa sahaja yang berlaku adalah kerana keizinanNya. Mungkin harinya akan sampai juga. Apa yang penting, berdoa supaya segera kita menjadi tetamuNya.

Wednesday, May 26, 2010

Iman... Oh Iman !

Iman adalah sesuatu yang ada turun naiknya. Meningkatkan iman, takwa, hubungan dengan Allah perlu dilakukan setiap detik dan saat, kerana dengan menjaganya, hidup  kita akan sentiasa terarah kepada kebaikan.
Muslim yang komited kepada Islam, tidak akan berasa ragu-ragu, bahawa meletakkan hubungan dengan Allah SWT melalui kekuatan iman adalah salah satu cara yang mampu melonjakkan prestasi hubungan dirinya dengan Allah.
Sesungguhnya Islam telah menyediakan ruang dan medium yang terlalu banyak bagi seseorang Muslim itu untuk memperbaharui iman kepada Allah SWT. Sebagai muslim, kita tidak boleh mengambil ringan atau bersikap acuh tidak acuh dalam melakukan tindakan mmemperbaharui iman kerana kehidupan kita kini yang sentiasa terdedah kepada perbuatan, kenyataan atau tindakan yang boleh dianggap sebagai keluar dari ruang lingkup agama Islam.
Sesungguhnya Islam tidak akan membiarkan kita, umatnya teraba-raba tanpa panduan. Terdapat cara, bagaimana kita memperbaharui iman. Antara kaedah yang sesuai yang boleh kita jadikan rujukan bagi meningkatkan tahap keimanan kita ialah :

Saturday, April 10, 2010

Dari Kotak Emel - May I Borrow RM25?


A woman came home from work late, tired and irritated, to find her 5-year old son waiting for her at the door.

SON: 'Mummy, may I ask you a question?'

MUM: 'Yeah sure, what it is?' replied the woman.

SON: 'Mummy, how much do you make an hour?'

MUM: 'That's none of your business. Why do you ask such a thing?' the woman said angrily.

SON: 'I just want to know. Please tell me, how much do you make an hour?'

MUM: 'If you must know, I make RM 50 an hour.'

SON: 'Oh,' the little boy replied, with his head down.

SON: 'Mummy, may I please borrow RM 25?'

The mother was furious, 'If the only reason you asked that is so you can borrow some money to buy a silly toy or some other nonsense, then you march yourself straight to your room and go to bed. Think about why you are being so selfish. I don't work hard everyday for such childish frivolities.'

The little boy quietly went to his room and shut the door.

The woman sat down and started to get even angrier about the little boy's questions. How dare he ask such questions only to get some money?

After about an hour or so, the woman had calmed down, and started to think:


Maybe there was something he really needed to buy with that RM 25 and he really didn't ask for money very often . The woman went to the door of the little boy's room and opened the door.

'Are you asleep, son?' She asked.

'No Mummy, I'm awake,' replied the boy.

'I've been thinking, maybe I was too hard on you earlier' said the woman. 'It's been a long day and I took out my aggravation on you. Here's the RM 25 you asked for.'

The little boy sat straight up, smiling. 'Oh, thank you Mummy!' he yelled. Then, reaching under his pillow he pulled out some crumpled up bills.

The woman saw that the boy already had money, started to get angry again.

The little boy slowly counted out his money, and then looked up at his mother.

'Why do you want more money if you already have some?' the mother grumbled.

'Because I didn't have enough, but now I do,' the little boy replied.

'Mummy, I have RM 50 now. Can I buy an hour of your time? Please come home early tomorrow. I would like to have dinner with you.'

The mother was crushed. She put his arms around her little son, and she begged for his forgiveness.

It's just a short reminder to all of you working so hard in life. We should not let time slip through our fingers without having spent some time with those who really matter to us, those close to our hearts. Do remember to share that RM 50 worth of your time with someone you love.

If we die tomorrow, the company that we are working for could easily replace us in a matter of hours. But the family & friends we leave behind will feel the loss for the rest of their lives.

Moralnya - Luangkanlah sedikit masa buat yang tersayang.

Monday, April 5, 2010

Cubalah Terima Pandangan Orang Lain...

Manusia tidak boleh hanya mementingkan diri sendiri. Lebih-lebih lagi, kita hidup bermasyarakat, kita punya ayah, kita punya ibu, kita punya adik-beradik, kita punya teman-teman dan lebih-lebih lagi kita punya tuhan.

Orang yang mementingkan diri sendiri, memang tidak mahu mendengar suara orang-orang yang berada di sekitarnya. Cuma yang dia mahu dengar hanyalah suara nafsu dan suara keinginannya sahaja. Suara rintihan orang-orang disekelilingnya, tidak langsung  diendahkan. Itu semua tidak penting. Apa yang penting ialah keinginannya tercapai.

Pemimpin yang baik ialah mereka yang dapat menyentuh hati golongan yang dipimpin. Tetapi sebelum kita dapat menyentuh hati orang yang dipimpin, kita semestinya menyelami apa ada dalam hati mereka.

Hendak menyelami hati mesti mendengar dulu suara mereka. Semestinya kita menjadi mendengar yang baik
Dalam kehidupan seharian, antara suara yang perlu kita dengar ialah:

1. Suara mereka yang rapat dengan kita seperti suara hati suami, isteri, anak, teman dan sahabat kita. Luangkan masa mendengar sama ada pujian atau teguran. Tunjukkan wajah yang simpati dan tindakbalas.Hindari wajah yang dingin kerana ia akan melukakan mereka yang sedang berkomunikasi dengan kita. Ramai orang yang suka ceritanya didengar.

2. Suara pelanggan. Kepada yang ingin berjaya dalam perniagaan, luangkan masa untuk mendengar suara hati pelanggan, kerana kadang-kadang ilmu dan hikmah datang daripada suara mereka ini.

3.Suara lawan. Suara lawan memang sukar untuk diterima, malah kadang-kadang disambut dengan lawan juga. Bagi mereka yang bijaksana, suara lawan sebenarnya sangat berharga. Melalui kritikan mereka ini, kita dapat mengetahui kelemahan kita, bahkan yang cacat pun akan dapat diperbaiki.

Mulai hari ini, marilah kita belajar mendengar, bukan sahaja kata-kata tetapi juga perasaan mereka yang berada di sekitar kita. Nanti mereka juga akan mendengar perasaan kita.

Wassalam.



Sunday, March 28, 2010

Ada Hati Yang Terluka Lagi...


  Apa lagi yang kau cari wahai sang suami ?

Walau isteri di sisi, tapi masih mencari lagi

Apa tidak cukup zuriat yang diberi ?

Lengkap, perempuan ada, apa tah lagi lelaki

Atau sengaja mahu mencari publisiti

Rupanya AKU masih laku lagi

Anak dara sunti, dan si isteri orang yang tidak sedar diri

Habis semuanya kau uji

Gagalnya kau menjadi suami sejati

Apalagi bapa mithali

Dugaan begini gagal kau tangani

Agaknya ada hati nak berpoligami

Rupanya kau bukanlah suami yang aku cari...

Saturday, March 27, 2010

Terima Kasih, Ya Allah ..


Salam pembaca Warna-Warna Kehidupan,

Setiap kali saya bangun tidur dan membuka mata, yang terucap adalah kalimah syukur kerana Allah masih mengizinkan saya kembali melihat sinar mentari. Merasai hembusan angin pagi yang menerobos celah jendela.

Kemudian melangkahlah dengan iringan doa menuju medan perjuangan kehidupan. Dengan tuntunan-Nya, semoga saya tidak melangkah ke jalan yang salah, tidak menjamah yang bukan hak, tidak melihat yang dilarang, tidak meneguk yang tidak halal, tidak mendengar yang lagha, dan tidak melakukan perkara yang dosa.

Friday, March 26, 2010

Nyanyi ???


Untuk beberapa hari ini, saya amat suka mendengar lagu ini. Dinyanyikan oleh Opick bertajuk Taubat sehingga saya turut sama menyanyikan dengan penuh syahdu. Jangan ditanya mengapa, sukar untuk menjawabnya, tetapi moga Allah mengetahui isi hati saya sebenarnya.  Sungguh punya maksud yang mendalam tersirat pada lagu ini dan perlu difahami dengan hati yang lapang, dan sungguh saya mendambanya. Namun, cinta ini hanya milik mereka yang mencintai-Nya.


Wahai Tuhan jauh sudah
lelah kaki melangkah
aku hilang tanpa arah
rindu hati sinarMu

Wahai Tuhan aku lemah
hilang terumur noda
hapuskanlah terangilah
jiwa di hitam jalanku

Ampunkanlah aku
terimalah taubatku
sesungguhnya Engkau
sang maha pengampun dosa

Ya Robbi, ijinkanlah
aku kembali padamu
meski mungkin takkan sempurna
aku sebagai hambaMu

Ampunkanlah aku
terimalah taubatku
sesungguhnya Engkau
sang maha pengampun dosa

Berilkanlah aku
kesempaatn waktu
aku ingin kembali
kembali...

Dan meski aku tak layak
sujud padaMu
dan sungguh tak layak
aku...




Wednesday, March 24, 2010

Istimewanya Wanita


Sekadar renungan untuk mereka yang bergelar Muslimah.. ketahuilah betapa istimewanya Allah SWT menjadikan kita sebagai seorang WANITA..

Nak tau kenapa? Kalau nak tau.. Teruskan bacaan anda..

Tuesday, March 23, 2010

Dibelit Ular

Dari kotak emel saya. Ambillah iktibar dari kisah  Ini.

Pengalaman saya berhadapan dengan sepasang kekasih yang mengadu menghadapi masalah besar beberapa tahun lalu," beritahu Ustaz Abdullah Mahmud, penceramah bebas yang dikenali ramai. Tambahnya, beliau memang tidak hairan dengan pendedahan tersebut kerana sepanjang menjadi penceramah, kaunselor dan merawat orang, dia didatangi oleh golongan remaja yang mengadu menghadapi masalah akibat terlanjur terutamanya si wanita yang mengandung setelah berzina di merata tempat tak kira hutan, hotel, rumah kosong, dalam semak, kereta dan sebagainya.

"Adakalanya saya menitiskan air mata apabila mengingatkan pergaulan bebas anak muda kita yang makin menjadi-jadi. Mereka ini langsung sudah tidak takut bala Tuhan. Mereka sudah tidak dapat membezakan antara halal dan haram," tegas beliau dengan nada kesal.

Monday, March 22, 2010

Lagi Tentang Zina

Penzinaan Dalam Islam

Allah SWT berfirman dalam Alquran. ``Janganlah kamu mendekati zina! Sesungguhnya berzina itu merupakan yang keji lagi tercela.’’ (Q.S. al Israa`:32)


`` Katakanlah! Sesungguhnya Tuhanku mengharamkan perbuatan-perbuatan keji, baik yang nampak mahupun tersembunyi, dan (Tuhan ku juga mengharamkanya) perbuatan dosa serta melarang dari melanggar hak manusia tanpa alasan yang besar.’’ (Q.S al A`raf:33)

``Wanita-wanita yang keji adalah untuk para lelaki yang keji, dan para lelaki yang yang keji adalah untuk wanita-wanita yang keji. Demikian pula para wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik, dan para lelaki yang baik adalah untuk para wanita yang baik.’’ (Q.S an Nurr: 26)

Sunday, March 21, 2010

Bencana Akhir Zaman

Berita Harian, 20 Mac 2010 - Seorang pelayan kedai berusia 23 tahun didakwa di Mahkamah Tinggi, Kuching kerana membunuh anaknya dengan membuang bayi yang baru dilahirkan ke dalam parit di Stutong. Tertuduh berusia 23 tahun, didakwa bersama seorang lelaki yang masih bebas melakukan perbuatan berkenaan antara jam 12.30 pagi dan 2.30 pagi, 3 Mac lalu. Bayi juga dipercayai masih bernyawa ketika dibuang. Jika sabit kesalahan, boleh dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.                                                 

Saturday, March 20, 2010

Wasiat Hasan al Banna

Siapa Hasan al Banna ? Bersama-sama ini dituliskan 10 wasiat Imam Hassan al-Banna. Sebelum tu, kita kenal dulu imam ni yer.

Hassan al Banna (14 Oktober 1906 - 12 Februari, 1949, Arab:حسن البنا) merupakan reformis sosial dan politik Mesir yang terkenal sebagai pengasas gerakan Jamiat al-Ikhwan al-Muslimun.

Hassan al Banna dilahirkan pada Oktober 1906 di desa al-Mahmudiyyah di daerah al-Bahriyyah, Iskandariah, Mesir (barat laut Kaherah). Beliau berasal dari sebuah perkampungan petani yang terkenal kuat mentaati ajaran dan nilai-nilai Islam, serta keluarga ulama yang dihormati.

Bapanya, Syeikh Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna, merupakan seorang ulama, imam, guru dan seorang pengarang terkenal, lulusan Universiti Al-Azhar, yang menulis dan menyumbang menulis kitab-kitab hadis dan fiqh perundangan Islam dan juga memiliki kedai membaiki jam dan menjual gramophone. Syeikh Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna turut mengkaji, menyelidik dan mengajar ilmu-ilmu agama seperti tafsir al-Qur'an dan hadis kepada penduduk tempatan, dan dia banyak dipengaruhi oleh fikrah serta cita-cita perjuangan Syeikh Muhammad Abduh dan Sayyid Jamaluddin al-Afghani.

APA WASIAT HASAN AL BANNA PADA KITA SEMUA ?

Tahniah !

Salam. Walaupun telah hampir dua minggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 diumumkan, saya rasa masih belum terlewat untuk saya mengucapkan TAHNIAH kepada semua  guru dan pelajar , khususnya guru-guru Matematik di atas kerja keras dan komitmen yang mereka pamerkan selama ini. Jutaan terima kasih juga kepada Puan Anizah bt Ahmad, rakan saya, yang selama ini sentiasa memberikan kerjasama tanpa rasa jemu. Alhamdulillah, hasilnya keputusan Matematik 2009 melonjak kira-kira 8% ( 75.6% tahun 2008 kepada 83.8% tahun 2009). Bilangan pelajar yang mendapat A juga turut meningkat, iaitu dari 44 orang pada tahun 2008 kepada 63 orang pada tahun 2009. Ini sesuatu yang amat membanggakan. Ketahuilah wahai anak-anakku, kalian memang hebat. Walaupun  hanyalah sebuah sekolah harian yang letaknya di luar bandar namun kalian telah membuktikan bahawa kalian juga hebat. Terima kasih di atas kiriman sms yang saya terima, penghargaan yang anak-anak berikan, membuatkan saya benar-benar terharu. Terima kasih banyak-banyak. All the best, dan semoga akan menjadi anak-anak yang berjaya dunia dan akhirat. Amin..

Tuesday, March 16, 2010

Wasiat Agung

Wasiat dari Allah S.W.T

Dari Nabi Muhammad S.A.W., "Pada waktu malam saya diisrakkan sampai ke langit, Allah S.W.T. telah memberikan lima wasiat, antaranya :

• Janganlah engkau gantungkan hatimu kepada dunia kerana sesungguhnya Aku tidak menjadikan dunia ini untuk engkau.

• Jadikan cintamu kepada-Ku sebab tempat kembalimu adalah kepada-Ku.

• Bersungguh-sungguhlah engkau mencari syurga.

• Putuskan harapan dari makhluk kerana sesungguhnya mereka itu sedikitpun tidak ada kuasa di tangan mereka.

• Rajinlah mengerjakan sembahyang tahajjud kerana sesungguhnya pertolongan itu berserta qiamullail.

Ibrahim bin Adham berkata, "Telah datang kepadaku beberapa orang tetamu, dan saya tahu mereka itu adalah wakil guru tariqat. Saya berkata kepada mereka, berikanlah nasihat yang berguna kepada saya, yang akan membuat saya takut kepada Allah S.W.T..Lalu mereka berkata, "Kami wasiatkan kepada kamu 7 perkara, iaitu :

• Orang yang banyak bicaranya janganlah kamu harapkan sangat kesedaran hatinya.

• Orang yang banyak makan janganlah kamu harapkan sangat kata-kata hikmat darinya.

• Orang yang banyak bergaul dengan manusia janganlah kamu harapkan sangat kemanisan ibadahnya.

• Orang yang cinta kepada dunia janganlah kamu harapkan sangat khusnul khatimahnya.

• Orang yang bodoh janganlah kamu harapkan sangat akan hidup hatinya.

• Orang yang memilih berkawan dengan orang yang zalim janganlah kamu harapkan sangat kelurusan agamanya.

• Orang yang mencari keredhaan manusia janganlah harapkan sangat akan keredhaan Allah S.W.T daripadanya."

Semoga kita semua mampu menerimanya, Amin

Saturday, March 6, 2010

Diari - Syukur


Rasa syukur atas satu perkara. Tidak terucap dengan kata-kata. Hanya yang mampu saya katakan Alhamdulillah, bersyukur ke hadratMu atas kurniaan ini kerana satu perkara yang saya citakan akhirnya tercapai. Terima kasih Allah, semoga urusan-urusan lain turut dipermudahkan. Amin...

Monday, February 22, 2010

S.P.A


Hari pertama saya ke sekolah, setelah bercuti panjang, sesuatu yang amat meletihkan. Emosi  dan tindakan harus disediakan terlebih dahulu, sebelum berhadapan dengan remaja-remaja akhir zaman  ini.

Seperti biasa, warga sekolah berkumpul di dataran perhimpunan. Saya juga tidak terkecuali, cuma  hari ini kaki saya melangkah agak longlai, tidak bersemangat, sepertimana hari-hari biasa. Ada yang tidak kena dengan hati dan perasaan. Saya sendiri kurang pasti. Kebetulan hari ini adalah merupakan hari perasmian Minggu Anti Dadah dan Minggu Koperasi Sekolah. Banyaklah insan-insan yang ingin menyampaikan amanat. Saya mendengar dengan teliti, tanpa banyak berfikir. Sekadar mendengar, masuk telinga kanan , keluar telinga kiri.

SETENGAH JAM kemudian, tumpuan saya kini lebih fokus kepada bual bicara seorang teman guru yang sedang berada di atas pentas. Bercerita tentang, S.P.A. Saya mula memberikan tumpuan .' Seronok ni. Lain dari yang lain,' bisik hati kecil saya.' Pelajar-pelajar sekalian SPA bukanlah seperti mana yang ada sangka. Memanjakan diri, di tempat yang ekslusif, ' jelas guru lelaki sebaya saya itu  dalam pelat Cinanya . S.P.A adalah dari singkatan  perkataan simpang, pilihan dan akibat.

Saya terpanggil untuk memberikan perhatian. Ini sesuatu yang baru. Tidak lagi masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Saya terus mengeluarkan buku nota yang setia berada dalam tas tangan usang saya. Betul kata sahabat saya, kita selalu berada di persimpangan, sama ada untuk meneruskan perjalanan, belok ke kiri, belok ke kanan, atau mungkin berpatah balik ke belakang. Samada pilihan kita tepat, kurang tepat atau benar-benar tepat, itu yang penting. Pilihan amat penting, kerana akibatnya kita yang tanggung .

Inilah kehidupan namanya. Terlalu banyak pilihan, membuatkan manusia, tidak tahu mana yang terbaik untuk diri. Jika tiada pilihan, manusia juga bisa pening kepala. Oh manusia ! Saya juga manusia. Tidak lepas dan tidak lari dari berada di persimpangan. Maka kerana itu, saya rasa ada baiknya kita minta pertolongan dariNya, melalui solat istikharah, misalnya. MasyaAllah, terlalu indahnya hidup ini. Moga saya dan kita semua sentiasa dibantu untuk membuat pilihan yang tepat ketika berada di persimpangan. Mudah-mudahan.


Thursday, February 18, 2010

Setuju Tak ?

Kadang-kadang kita tidak perlu ucapkan 'Saya Sayang Awak' tiap saat. Lebih-lebih lagi pada pasangan yang telah lama berkahwin. Ini pandangan peribadi saya. Tapi... mungkin ada yang tidak setuju dengan pernyataan saya ni. Ramai yang suka  pasangan mereka meluahkannya setiap waktu, kalau boleh setiap saat. Barulah romantik...kata mereka.

Bagi saya, cukuplah sekadar diucapkan pada hari-hari istimewa, contohnya pada Hari Lahir, mungkin pada Hari Ulangtahun Perkahwinan atau mungkin ketika pasangan berada jauh, 'out station' .

Pada saya, satu perkara yang pasti. jika saya benar-benar sayangkan seseorang, saya perlu menterjemahkan kata-kata sayang itu dengan tindakan saya. Maksudnya ?

Seorang isteri yang meluahkan sayang pada suami perlulah bertindak merealisasikan maksud kasih sayang tersebut dalam bentuk tanggungjawab yang perlu dan wajar sebagai seorang isteri. Contohnya ,




saya memasak untuk pasangan saya dan anak-anak, makanan kegemaran mereka



Saya juga menyapu (kadang-kadang guna  penyedut hampagas), supaya mereka dapat hidup selesa







Saya juga melipat kain-kain baju pasangan dan anak-anak yang melambak-lambak, seminggu sekali.




Saya juga tidak lupa menyiram pokok bunga hampir setiap petang, terutama musim panas sekarang ni.

                                            

 Kucing peliharaan keluarga, Labu, juga saya belai dengan penuh kasih sayang.

Apa yang penting, saya telah melahirkan bayi-bayi yang comel untuk pasangan saya, 17  tahun dulu. Bukankah itu kasih sayang namanya ?  ( Awas, entri ini hanya untuk pasangan suami-isteri sahaja )

Setuju tak ?

Pesanan Imam Ghazali


Pesanan IMAM GHAZALI kepada anak perempuannya pada hari perkahwinannya:

ANAKKU!

Engkau sekarang akan berpindah dari rumah tempat engkau dibesarkan. Dan akan berada di tempat tidur yang engkau tidak engkau kenal. Dan rakan hidup yang engkau tidak biasa dengannya. Itulah suamimu..

Jadikanlah dirimu ibarat seorang khadam kepadanya. Nescaya dia pula akan menjadi khadam kepadamu. Jangan engkau memaksa-maksa apabila engkau meminta sesuatu daripadanya. Itu akan membuatkan dia berasa benci kepadamu. Jangan pula engkau menjauhkan diri, nescaya dia akan melupakan engkau. Dan kalau dia pula menjauhkan diri secara marah kerana sesuatu sebab yang tertentu. Maka yang eloknya jauhkanlah dirimu daripadanya semasa marah.

Peliharalah hidung, telinga dan matanya…Janganlah membiarkan dia menghidu sesuatu daripadamu melainkan yang harum. Janganlah membiarkan dia mendengar melainkan perkataan yang baik. Dan janganlah membiarkan dia melihat sesuatu daripadamu melainkan yang cantik belaka.

Wednesday, February 17, 2010

Bila Aku Sudah Tua

Bila aku sudah tua,
Mengertilah, bersabarlah terhadap aku,
Ketika pakaianku tertumpah sup,
Ketika aku lupa bagaimana mengikat sepatu,
Ingatlah dulu bagaimana aku mengajarmu.


Ketika aku mengulang-ulang kata tentang sesuatu,
Bersabarlah mendengarkannya,
Ingatlah dulu, aku begitu setia mengingatkanmu tentang banyak perkara.


Ketika aku merangkak-rangkak mengatur langkah,
Hulurkanlah tanganmu,
Sepertimana aku pernah menghulurkan tanganku ketika memapahmu saat kau mula  mendapat langkah.


Ketika kau memandang aku yang sudah mulai dimamah usia,
Janganlah berduka,
Doaku akan sentiasa mengiringimu di hamparan masa,
Temanilah aku menghabiskan sisa-sisa  hidupku yang tinggal sekelumit cuma.

Tuesday, February 16, 2010

Inilah Jadinya Kalau Tiada Ilmu...


Fenomena menyambut Hari Valentine atau Hari Memperingati Kekasih bukanlah suatu yang asing bagi kita semua.  Saban tahun kita 'diingatkan' akan kehadirannya. Dan saban tahun jugalah kita dihidangkan dengan berita-berita penangkapan yang dijalankan  oleh jabatan terbabit. Ramailah yang  ditahan, remaja perempuan, remaja lelaki, suami dan isteri orang dan tidak ketinggalan juga mereka yang bergelar janda. Menyaksikan apa yang berlaku, tentu sekali maruah individu terbabit  tercalar, dan apa yang mengecewakan, keluarga yang terpaksa menanggung malu dan aib sepanjang hidup mereka. Golongan cerdik pandai agama telah sepakat untuk mengharamkan Hari Valentine untuk diraikan, namun apa yang terjadi ? Kata-kata mereka seolah-olah tidak didengar oleh golongan ini . Langsung tidak berbekas.
Keinginan untuk mengikut memang ada dalam diri manusia. Ikut-ikutan akan menjadi lebih tercela apabila orang yang diikuti berbeza dari segi akidah dan keyakinan.' Barang siapa meniru suatu kaum, maka ia termasuk dari kaum tersebut.' ( HR At-Tirmizi) . Menyambutnya bukan budaya kita, bukan budaya orang Islam.
Lihat sahaja pengisian yang dilakukan ketika menyambutnya, majlis yang dihadiri oleh perempuan dan lelaki  yang bukan mahram dan terang-terang  mengundang bala. Itu belum lagi pesta muzik yang terkadang disertai dengan aktiviti meneguk  minuman keras. Hari ini dijadikan oleh mereka sebagai medan untuk mengekspresikan rasa cinta terhadap pasangan masing-masing. Kasih sayang yang dilahirkan hanyalah kasih sayang yang palsu, lebih tepat lagi kasih sayang yang berpaksikan nafsu. Bukan kasih sayang yang diasaskan kepada hukum Allah. Akhirnya yang terjadi ialah kes buang bayi...naudzu billahi min dzalik.

Monday, February 15, 2010

Sampainya Hati Dia...

Salam , dah hampir sebulan lebih rasanya saya tak update kan blog Warna - Warna Kehidupan. Rindu rasanya. Kekangan masa tidak mengizinkan jari-jari tua saya untuk menekan kekunci yang berada di komputer mini ini. Maklumlah,  tanggungjawab saya sebagai ibu dan guru tidak pernah mahu mengizinkan saya bersantai-santai di depan komputer, lainlah ketika cuti sekolah.
     Minggu ini rasanya, hati dan jiwa saya agak terganggu lantaran terdapat kes membuang bayi yang saya rasa semakin hari semakin menakutkan. Hilangnya nilai-nilai kemanusiaan dalam diri anak muda masa kini amat membimbangkan. Menitis air mata melihat bayi yang masih merah dihurung semut, bayi yang tidak berdosa dibakar sehingga separuh dari badannya rentung. Apakah sudah hilang nilai kasih sayang dan simpati terhadap anak-anak tidak berdosa ini ?

     Baru-baru ini saya ada menghadirkan diri ke satu ceramah agama, Jutawan Akhirat, menarik pengisiannya. Uztaz juga tidak lupa menyentuh sedikit tentang isu buang bayi, menurutnya kes ini amat membimbangkan. Bilangan anak luar nikah menurutnya mencecah puluhan ribu, itu statistik  tahun lepas kata uztaz. Menakutkan. Lantas, saya terfikir adakah mungkin : silap ibu bapa, kerana tidak tahu jaga anak ? silap guru-guru yang tidak mengingatkan akan keburukan melahirkan anak luar nikah  ? salah uztaz atau uztazah yang tidak menerangkan dengan jelas tentang hukum hukam melahirkan anak luar nikah, apalagi membunuhnya kerana tidak bersedia menerima kehadiran bayi yang tidak diundang ini. Atau juga mungkin silap para remaja sekarang ini yang tidak tahu membezakan antara yang halal dan yang haram akibat terlalu banyak disogokkan dengan hiburan-hiburan yang melalaikan.

Tuesday, January 5, 2010

Punca Kelemahan Pelajar Dalam Matematik - Bahagian 2

Salam. Baru hari ini saya berkesempatan untuk menjengah ke Warna Warna Kehidupan. Maklumlah minggu pertama persekolahan menyebabkan waktu saya cukup terbatas. Entri  hari ini, masih lagi berkisar tentang faktor penyebab mengapa pelajar tidak menguasai kemahiran Matematik.


Saya pernah bertanyakan kepada pelajar saya, tentang kegagalannya menjawab beberapa soalan Matematik. Jawapan yang diberikan ialah," tak ingatlah teacher ". Itu jawapan yang diberikan kepada saya.


Terdapat beberapa cara untuk meningkatkan ingatan, antaranya ialah dengan mengurangkan lupaan. Betul kan ? Pelajar perlu memahami betul-betul tentang isi pelajaran yang cuba disampaikan. Pastikan semua yang disampaikan oleh guru-guru anda meresap dan kekal di dalam ingatan.  Ingatan juga  dapat ditingkatkan dengan membuat ulangkaji dan latih tubi. Menurut Campbell, (saya tidak ingat bukunya), 'the most important thing with homework, of course, is to do it'. Menurutnya lagi, masa yang terbaik untuk membuat ulangkaji Matematik ialah selepas tamatnya kelas Matematik. Ini adalah kerana, menurutnya ingatan pada ketika itu masih kekal segar lagi. Sekiranya latihan itu boleh diselesaikan, pastikan bahawa pelajar memahaminya. Campbell turut menyatakan ,' If you can't  solve the problem easily, you'll learn more. When you struggle a problem, you tend to concentrate on it. And when you concentrate, you tend to remember '. Saya sering mengingatkan pelajar-pelajar saya supaya membuat latihan yang saya bekalkan setiap hari, kerana pada saya latih tubi adalah merupakan aktiviti pembelajaran yang dilakukan secara berulang-ulang untuk meneguhkan daya ingatan pelajar. Tapi biasalah , budak-budakkan, saya rasa rakan-rakan guru yang lain ada jawapannya.

Seperti yang saya nyatakan dalam entri terdahulu, '... it is important to link Mathematics with life'. Dengan membuat perkaitan, mengaitkan maklumat dengan persekitaran akan dapat membantu pelajar  meningkatkan serta mengukuhkan ingatan pelajar.


Sikap juga memainkan peranan yang sangat penting. ' The differences between those who are goods at Math and those who are not is a matter of behavior... the key is practice. Lots of practice'. - Campbell. Pernyataan ini sudah cukup menjelaskan kepada kita bahawa sikap memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran.  Sekiranya pelajar-pelajar kita bersikap negatif, negatiflah jawapannya. Jumpa lagi di entri yang akan datang.

Saturday, January 2, 2010

Matematik. Apa Sebenarnya Punca Kelemahan Pelajar Melayu ?



Selamat Tahun Baru - 2010.
 Komen negatif  mengenai Melayu dan Matematik sudah menjadi lumrah. Melayu dikatakan mudah putus asa apabila berdepan dengan soalan sukar dan kurang disiplin untuk membuat latihan secara konsisten. Pendek kata, ramai pelajar Melayu yang 'ditakdirkan' lemah dalam Matematik. Ini yang saya lihat, buat permulaan saya ingin mengupas isu 'kepincangan' Melayu dalam Matematik dari pandangan dan kaca mata saya sebagai guru Matematik. Selain itu, saya akan turut mendapatkan pandangan terus terang guru-guru Matematik bukan Melayu.

Sebelum itu, mungkin saya boleh memperkenalkan diri saya, saya, Cikgu Norhaliza, kalau sebelum ini saya  membahasakan diri saya dengan panggilan CN. Tahun ini saya berazam 'menaikkan' entri-entri yang lebih bersifat ilmiah, supaya kita boleh berbincang, bertukar-tukar pendapat, dan mengupas dengan mendalam tentang isu-isu yang cuba akan saya ketengahkan. Buat permulaan, entri saya yang pertama tahun 2010, saya ingin mengupas mengapa pelajar Melayu lemah dalam Matematik.

Mengapa Melayu ? Bukan Cina ? Bukan pelajar India ? Melayu aje ke yang lemah ? Saya tidak bermaksud untuk menjatuhkan maruah  bangsa saya sendiri. Tidak sama sekali. Mungkin  Melayu menjadi sasaran saya, kerana saya sendiri orang Melayu, dan jika dilihat dari segi statistik, Melayu yang mendominasi Malaysia. Jadi secara tidak langsung, bilangannya  ramai. Jika saya membincangkan pelajar Melayu, tidak bermakna pelajar India, pelajar Cina dan lain-lain tidak lemah dalam Matematik.

Melalui pengalaman saya, sebagai guru Matematik , saya dapati kelemahan yang paling ketara sekali di kalangan pelajar Melayu ialah tiada asas yang kukuh. Jangan hairan, jika terdapat pelajar tingkatan lima yang masih lagi tidak menguasai sifir. Setiap  kali, ada soalan-soalan lisan yang menyentuh tentang sifir, pelajar-pelajar ini tanpa ada rasa malu, akan mengeluarkan mesin kira mereka untuk mendapatkan jawapan. Bagi pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan, yang tidak mempunyai mesin kira, mereka ada cara lain, buku tulis akan mereka keluarkan, dan di belakangnya terdapat cetakan sifir, yang pastinya akan membolehkan mereka mengelak daripada didenda.

Sebagai guru, apa daya saya, apakah saya perlu mengajar pelajar-pelajar ini kemahiran sifir semula ? Sedangkan hujung tahun nanti mereka akan menduduki peperiksaan maha besar dalan kamus hidup mereka, Sijil Pelajaran Malaysia. Sebagai guru, saya hanya mampu tersenyum, sekurang-kurangnya pelajar saya berusaha untuk mendapatkan jawapan bagi soalan saya iaitu, 8 x 9 = ????

Tidak faham kemahiran yang diajar. Menjadi cikgu adalah merupakan cita-cita saya dari kecil. Mungkin melihat begitu semangatnya arwah abah mengajar murid-muridnya(beliau juga seorang guru Matematik) menjadikan saya begitu bersemangat untuk mengikut jejak langkah abah. Itulah impian  saya dan akhirnya saya dapat apa yang saya idamkan. Saya cintakan profesion ini. Jika di sekolah, seandainya saya tidak diberi  tugas-tugas yang saya minati , saya mudah berasa kecil hati. Kenapa khidmat saya tidak diperlukan ?Kenapa mereka tak bagi aku tugas itu ? Bisik hati kecil saya. Dan sehingga ke hari ini, perasaan itu masih ada lagi. Saya bersyukur. Saya jadi susah hati sekiranya nama saya tidak tersenarai dalam apa-apa juga aktiviti yang ada kaitan dengan Matematik. Itulah saya.  Anak-anak yang sudah dewasa dan menuntut di sekolah berasrama memberi kredit kepada saya untuk duduk di sekolah lebih masa dan ada masanya saya menyambung tugasan  di rumah.

Di kelas, sebaik mungkin saya akan memastikan pelajar-pelajar saya memahami apa yang saya ajar. Lebih-lebih lagi, sekarang, saya mengajar Matematik dalam bahasa Inggeris. Itu tidak menjadi masalah pada saya. Kerana ketika di sekolah rendah dan menengah dulu, saya belajar di sekolah methodist, untuk berbahasa Inggeris, bukanlah perkara sukar. Apa yang sukar ialah untuk memahamkan pelajar -pelajar saya tentang kandungan atau kemahiran Matematik yang cuba saya sampaikan. Alhamdulillah setakat ini, maklumbalas yang saya terima dari pelajar-pelajar saya , amat menggembirakan.



Saya tidak risau dengan pelajar-pelajar dari kelas elit. Saya simpati dengan pelajar-pelajar kelas sederhana maupun yang lemah. Kenapa mereka perlu faham tentang kemahiran yang saya ajar? Saya terangkan kepada pelajar. Ini penting, kerana sekiranya pelajar-pelajar faham apa yang perlu mereka faham, saya tidak nampak mengapa Matematik menjadi killer subject pada mereka. Saya terangkan sehingga mereka benar-benar faham. Alhamdulillah , hasilnya kini saya nampak. Untuk memudahkan mereka memahami topik yang saya ajar, saya sering kaitkan Matematik dengan kehidupan seharian meraka. Saya ambil contoh-contoh mudah yang berlaku di persekitaran mereka. Saya letakkan diri saya sealiran dengan mereka. Sekiranya pelajar faham apa yang mereka belajar, secara tidak langsung, minat akan datang dengan sendirinya.

 KESIMPULANNYA ...

                        FAHAM   +    MINAT   =    LULUS CEMERLANG  ,
      
                                                     tapi sekiranya

          TIDAK  FAHAM  +    TIDAK MINAT  =  TIDAK  LULUS
     
Terdapat banyak faktor lagi yang boleh dikaitkan dengan permasaalahan ini di dalam entri seterusnya. Saya juga akan cuba mendapatkan pandangan ikhlas guru-guru Matematik bukan Melayu tentang hal ini. Sekiranya, ada sebarang komen membina, pandangan silalah ketengahkan.

Related Posts with Thumbnails