:: My Counter ::
Monday, February 22, 2010
S.P.A
Hari pertama saya ke sekolah, setelah bercuti panjang, sesuatu yang amat meletihkan. Emosi dan tindakan harus disediakan terlebih dahulu, sebelum berhadapan dengan remaja-remaja akhir zaman ini.
Seperti biasa, warga sekolah berkumpul di dataran perhimpunan. Saya juga tidak terkecuali, cuma hari ini kaki saya melangkah agak longlai, tidak bersemangat, sepertimana hari-hari biasa. Ada yang tidak kena dengan hati dan perasaan. Saya sendiri kurang pasti. Kebetulan hari ini adalah merupakan hari perasmian Minggu Anti Dadah dan Minggu Koperasi Sekolah. Banyaklah insan-insan yang ingin menyampaikan amanat. Saya mendengar dengan teliti, tanpa banyak berfikir. Sekadar mendengar, masuk telinga kanan , keluar telinga kiri.
SETENGAH JAM kemudian, tumpuan saya kini lebih fokus kepada bual bicara seorang teman guru yang sedang berada di atas pentas. Bercerita tentang, S.P.A. Saya mula memberikan tumpuan .' Seronok ni. Lain dari yang lain,' bisik hati kecil saya.' Pelajar-pelajar sekalian SPA bukanlah seperti mana yang ada sangka. Memanjakan diri, di tempat yang ekslusif, ' jelas guru lelaki sebaya saya itu dalam pelat Cinanya . S.P.A adalah dari singkatan perkataan simpang, pilihan dan akibat.
Saya terpanggil untuk memberikan perhatian. Ini sesuatu yang baru. Tidak lagi masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Saya terus mengeluarkan buku nota yang setia berada dalam tas tangan usang saya. Betul kata sahabat saya, kita selalu berada di persimpangan, sama ada untuk meneruskan perjalanan, belok ke kiri, belok ke kanan, atau mungkin berpatah balik ke belakang. Samada pilihan kita tepat, kurang tepat atau benar-benar tepat, itu yang penting. Pilihan amat penting, kerana akibatnya kita yang tanggung .
Inilah kehidupan namanya. Terlalu banyak pilihan, membuatkan manusia, tidak tahu mana yang terbaik untuk diri. Jika tiada pilihan, manusia juga bisa pening kepala. Oh manusia ! Saya juga manusia. Tidak lepas dan tidak lari dari berada di persimpangan. Maka kerana itu, saya rasa ada baiknya kita minta pertolongan dariNya, melalui solat istikharah, misalnya. MasyaAllah, terlalu indahnya hidup ini. Moga saya dan kita semua sentiasa dibantu untuk membuat pilihan yang tepat ketika berada di persimpangan. Mudah-mudahan.
Ditulis oleh Cikgu Norhaliza™ at 9:22 PM 6 comments
Labels: motivasi
Thursday, February 18, 2010
Setuju Tak ?
Kadang-kadang kita tidak perlu ucapkan 'Saya Sayang Awak' tiap saat. Lebih-lebih lagi pada pasangan yang telah lama berkahwin. Ini pandangan peribadi saya. Tapi... mungkin ada yang tidak setuju dengan pernyataan saya ni. Ramai yang suka pasangan mereka meluahkannya setiap waktu, kalau boleh setiap saat. Barulah romantik...kata mereka.
Bagi saya, cukuplah sekadar diucapkan pada hari-hari istimewa, contohnya pada Hari Lahir, mungkin pada Hari Ulangtahun Perkahwinan atau mungkin ketika pasangan berada jauh, 'out station' .
Pada saya, satu perkara yang pasti. jika saya benar-benar sayangkan seseorang, saya perlu menterjemahkan kata-kata sayang itu dengan tindakan saya. Maksudnya ?
Seorang isteri yang meluahkan sayang pada suami perlulah bertindak merealisasikan maksud kasih sayang tersebut dalam bentuk tanggungjawab yang perlu dan wajar sebagai seorang isteri. Contohnya ,
saya memasak untuk pasangan saya dan anak-anak, makanan kegemaran mereka
Saya juga melipat kain-kain baju pasangan dan anak-anak yang melambak-lambak, seminggu sekali.
Kucing peliharaan keluarga, Labu, juga saya belai dengan penuh kasih sayang.
Apa yang penting, saya telah melahirkan bayi-bayi yang comel untuk pasangan saya, 17 tahun dulu. Bukankah itu kasih sayang namanya ? ( Awas, entri ini hanya untuk pasangan suami-isteri sahaja )
Setuju tak ?
Ditulis oleh Cikgu Norhaliza™ at 9:10 PM 7 comments
Labels: borak-borak
Pesanan Imam Ghazali
ANAKKU!
Engkau sekarang akan berpindah dari rumah tempat engkau dibesarkan. Dan akan berada di tempat tidur yang engkau tidak engkau kenal. Dan rakan hidup yang engkau tidak biasa dengannya. Itulah suamimu..
Jadikanlah dirimu ibarat seorang khadam kepadanya. Nescaya dia pula akan menjadi khadam kepadamu. Jangan engkau memaksa-maksa apabila engkau meminta sesuatu daripadanya. Itu akan membuatkan dia berasa benci kepadamu. Jangan pula engkau menjauhkan diri, nescaya dia akan melupakan engkau. Dan kalau dia pula menjauhkan diri secara marah kerana sesuatu sebab yang tertentu. Maka yang eloknya jauhkanlah dirimu daripadanya semasa marah.
Peliharalah hidung, telinga dan matanya…Janganlah membiarkan dia menghidu sesuatu daripadamu melainkan yang harum. Janganlah membiarkan dia mendengar melainkan perkataan yang baik. Dan janganlah membiarkan dia melihat sesuatu daripadamu melainkan yang cantik belaka.
Ditulis oleh Cikgu Norhaliza™ at 7:40 AM 4 comments
Labels: santapan rohani
Wednesday, February 17, 2010
Bila Aku Sudah Tua
Mengertilah, bersabarlah terhadap aku,
Ketika pakaianku tertumpah sup,
Ketika aku lupa bagaimana mengikat sepatu,
Ingatlah dulu bagaimana aku mengajarmu.
Ketika aku mengulang-ulang kata tentang sesuatu,
Bersabarlah mendengarkannya,
Ingatlah dulu, aku begitu setia mengingatkanmu tentang banyak perkara.
Ketika aku merangkak-rangkak mengatur langkah,
Hulurkanlah tanganmu,
Sepertimana aku pernah menghulurkan tanganku ketika memapahmu saat kau mula mendapat langkah.
Janganlah berduka,
Doaku akan sentiasa mengiringimu di hamparan masa,
Temanilah aku menghabiskan sisa-sisa hidupku yang tinggal sekelumit cuma.
Ditulis oleh Cikgu Norhaliza™ at 12:25 PM 5 comments
Labels: sesekali ingin berbicara
Tuesday, February 16, 2010
Inilah Jadinya Kalau Tiada Ilmu...
Keinginan untuk mengikut memang ada dalam diri manusia. Ikut-ikutan akan menjadi lebih tercela apabila orang yang diikuti berbeza dari segi akidah dan keyakinan.' Barang siapa meniru suatu kaum, maka ia termasuk dari kaum tersebut.' ( HR At-Tirmizi) . Menyambutnya bukan budaya kita, bukan budaya orang Islam.
Lihat sahaja pengisian yang dilakukan ketika menyambutnya, majlis yang dihadiri oleh perempuan dan lelaki yang bukan mahram dan terang-terang mengundang bala. Itu belum lagi pesta muzik yang terkadang disertai dengan aktiviti meneguk minuman keras. Hari ini dijadikan oleh mereka sebagai medan untuk mengekspresikan rasa cinta terhadap pasangan masing-masing. Kasih sayang yang dilahirkan hanyalah kasih sayang yang palsu, lebih tepat lagi kasih sayang yang berpaksikan nafsu. Bukan kasih sayang yang diasaskan kepada hukum Allah. Akhirnya yang terjadi ialah kes buang bayi...naudzu billahi min dzalik.
Ditulis oleh Cikgu Norhaliza™ at 5:27 PM 9 comments
Labels: sesekali ingin berbicara
Monday, February 15, 2010
Sampainya Hati Dia...
Salam , dah hampir sebulan lebih rasanya saya tak update kan blog Warna - Warna Kehidupan. Rindu rasanya. Kekangan masa tidak mengizinkan jari-jari tua saya untuk menekan kekunci yang berada di komputer mini ini. Maklumlah, tanggungjawab saya sebagai ibu dan guru tidak pernah mahu mengizinkan saya bersantai-santai di depan komputer, lainlah ketika cuti sekolah.
Minggu ini rasanya, hati dan jiwa saya agak terganggu lantaran terdapat kes membuang bayi yang saya rasa semakin hari semakin menakutkan. Hilangnya nilai-nilai kemanusiaan dalam diri anak muda masa kini amat membimbangkan. Menitis air mata melihat bayi yang masih merah dihurung semut, bayi yang tidak berdosa dibakar sehingga separuh dari badannya rentung. Apakah sudah hilang nilai kasih sayang dan simpati terhadap anak-anak tidak berdosa ini ?
Baru-baru ini saya ada menghadirkan diri ke satu ceramah agama, Jutawan Akhirat, menarik pengisiannya. Uztaz juga tidak lupa menyentuh sedikit tentang isu buang bayi, menurutnya kes ini amat membimbangkan. Bilangan anak luar nikah menurutnya mencecah puluhan ribu, itu statistik tahun lepas kata uztaz. Menakutkan. Lantas, saya terfikir adakah mungkin : silap ibu bapa, kerana tidak tahu jaga anak ? silap guru-guru yang tidak mengingatkan akan keburukan melahirkan anak luar nikah ? salah uztaz atau uztazah yang tidak menerangkan dengan jelas tentang hukum hukam melahirkan anak luar nikah, apalagi membunuhnya kerana tidak bersedia menerima kehadiran bayi yang tidak diundang ini. Atau juga mungkin silap para remaja sekarang ini yang tidak tahu membezakan antara yang halal dan yang haram akibat terlalu banyak disogokkan dengan hiburan-hiburan yang melalaikan.
Baru-baru ini saya ada menghadirkan diri ke satu ceramah agama, Jutawan Akhirat, menarik pengisiannya. Uztaz juga tidak lupa menyentuh sedikit tentang isu buang bayi, menurutnya kes ini amat membimbangkan. Bilangan anak luar nikah menurutnya mencecah puluhan ribu, itu statistik tahun lepas kata uztaz. Menakutkan. Lantas, saya terfikir adakah mungkin : silap ibu bapa, kerana tidak tahu jaga anak ? silap guru-guru yang tidak mengingatkan akan keburukan melahirkan anak luar nikah ? salah uztaz atau uztazah yang tidak menerangkan dengan jelas tentang hukum hukam melahirkan anak luar nikah, apalagi membunuhnya kerana tidak bersedia menerima kehadiran bayi yang tidak diundang ini. Atau juga mungkin silap para remaja sekarang ini yang tidak tahu membezakan antara yang halal dan yang haram akibat terlalu banyak disogokkan dengan hiburan-hiburan yang melalaikan.
Ditulis oleh Cikgu Norhaliza™ at 3:47 PM 7 comments
Labels: diskusi ilmiah
Subscribe to:
Posts (Atom)